Hanya beberapa hari sahaja lagi aku akan berpindah ke dunia baru. Dunia seorang pesara. Aku akan bersara wajib pada 18 Disember 2010 seta;ah memulakan perkhidmatan pada January 1976 di sebuah daerah di Sabah. Sememangnya banyak pengalaman aku lalui sebagai kakitangan awam dan apabila aku bangun pada pagi 19 Disember 2010 aku akan mendapati bahawa sudah tidak ada pekerjaan. Bermulalah hidup baru aku sebagai seorang pesara.
Entah bagaimana akan aku hadapi hari-hari tanpa pekerjaan. Selama lebih 34 tahun aku menjalani rutin hidup bangun pagi bersiap dan pergi kerja dan tiba-tiba bangun pagi dan mendapati aku sudah "menganggur". Hendak mengubah rutin hidup memang susah. Bukan kerana beberapa hari tetapi bertahun-tahun.
Dr Maxwell Maltz dalam bukunya Psychocybernatics ada menyebut bahawa apabila seseorang itu mengulang sesuatu melebihi 21 kali ia akan menjadi satu tabiat. Jadi aku telah melakukannya 34 tahun bukan 21 hari. Oleh itu bangun tidur dan pergi kerja adalah satu tabiat.
Setiap orang pasti melalui beberapa dunianya. Kita sering mendengar melalui ceramah agama bahawa manusia akan melalui beberapa alam. Bermula dari alam kandungan, kemudian ke alam dunia, ke alam kubor dan kemudiannya penghabisan sekali alam akhirat. Alam kandungan (rahim ibu) sudah dilepasi dan saya rasa tidak seorang pun tahu apa yang dia alami sewaktu berada di alam kandungan itu. Hanya apabila dilahirkan ke alam dunia baharu segala kisah suka duka kita mula dialami dan ingati. Di alam dunia pula bagi saya kita melalui beberapa sub alam lagi: Alam bayi, alam kanak-kanak, alam remaja, alam dewasa di mana kita melalui alam pekerjaan. Selepas itu kita akan masuk ke alam tua di mana kita akan masuk juga ke alam pencen. Aku sudah sampai ke alam ini.
Ini sekadar catatan untuk menghabiskan masa aku sementara menunggu hujan berhenti. Nak balik pun hujan masih lebat. Lepak sajalah di pejabat.
No comments:
Post a Comment