Tuesday, January 25, 2011

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

Ramai remaja kita sudah terikut-ikut dengan perbuatan ini.
BERTINDIK  anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.
Saya petik beberapa ayat dari BH Online untuk dikongsi bersama.

HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

........................golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

BERTATU

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.
Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

No comments:

Post a Comment