Hari ini 1 Syawal 1430, Hari Raya Aidil Fitri datang lagi menandakan kita sudah meninggalkan Ramadhan, bulan penuh berkat dan keampunan. Pagi Syawal bermula dengan sembahyang sunat Aidil Fitri di mesjid dan surau di seluruh pelusuk. Sembahyang sunat yang datang setahun sekali sahaja. Terlepas sembahyang sunat kali ini bererti terpaksa menanti setahun untuk berkesempatan melakukannya lagi.
Pagi ini sembahyang sunat Aidil Fitri di Mesjid Kampung Berjaya, kira kampung akulah yang aku diami sejak tahun 1964 dulu.
Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri, kunjung mengunjung bermula. Kanak-kanak paling gembira kerana ini masanya untuk kutip duit raya. Biasanya kanak-kanak yang mengunjung dari rumah ke rumah tidak mahu makan atau minum. Bagi mereka mengumpul duit raya adalah lebih nikmat dari makan dan minum.
Pada Hari Raya juga merupakan masa di mana kaum keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan. Biasanya rumah ibu bapa menjadi tempat berkumpul. Inilah pentingnya ada orang-orang tua. Apabila ibu bapa sudah tiada, maka perjumpaan keluarga menjadi lebih kecil.
Hari Raya juga merupakan hari di mana ziarah kubur dilakukan. Bagi aku juga, menziarah kubur nenek menjadi amalan. Kini ditambah dengan tanah perkuburan adik aku dan terpaksa pergi ke dua tanah perkuburan berasingan. Pertama di Lubok Air, Air Hitam Kedah dan satu lagi di tanah perkuburan Mesjid Derga.
Sudah menjadi amalan sejak beberapa tahun lalu, selepas ke tanah perkuburan, akan singgah di rumah bapa saudara aku di Lorong Keriang sebelum ke Pantai Johor, berdekatan Anak Bukit pula. Itulah rutin setiap Hari Raya. Keletihan sehari suntuk berjalan, maka sebelah malam selalunya tidak ke mana lagi.
Hari Raya kedua pula ada perjumpaan tahunan keluarga Tok Naidin. Tahun ini perjumpaan akan diadakan di Kem Kenari Nature Resort, Yan, Kedah.
No comments:
Post a Comment