Baru saja bangun dari tidur sejak selepas sembahyang suboh pagi tadi. Keletihan selepas memandu terus menerus dari Alor Setar jam 11.45 malam 30 Ogos dan detik menyambut ambang merdeka sewaktu aku berada di Pekan Kota Sarang Semut. Tepat-tepat sewaktu berhenti di lampu trafik simpang pekan tersebut jam menunjukkan 12.00 tengah malam.
Malam tadi kenderaan agak banyak juga walaupun dah tengah malam. Biasanya waktu sebegitu jalan sudah lengang. Dah tu pula, kenderaan yang ada dipandu perlahan, tu yang buatkan mata mudah mengantuk. Sebaik sahaja tiba di pekan Sungai Petani kenderaan semakin banyak. Lepas tu ada dua sekatan jalan di kiri dan kanan jalan sekitar bandar baru Sungai Petani itu. Sudah pasti untuk mengawal Mat Rempit mengambil kesempatan menunjukkan patroitisme meraka di malam Kemerdekaan itu. Selepas dua sekatan jalan oleh polis trafik itu ada lagi tiga sekatan jalan sehinggalah ke susur keluar ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan. Banyak sungguh sekatan jalan. Seolah-olah ada penjara pecah di mana-mana atau ada penjenayah yang paling dikehendaki sedang diburu. Sudah ini menjejaskan imej negara di mata pelancung yang kita dawka Malaysia adalah negara yang selamat untuk mereka berada.
Lagi teruk. Selepas plaza tol Sungai Dua pun ada sekatan jalan raya di atas lebuhraya. Saya pun tidak faham mengapa perlu diadakan sekatan jalan di atas lebuhraya. Lebuhraya sepatutnya menjadi satu laluan yang lancar tetapi dengan adanya sekatan jalan tersebut pasti menyebabkan perjalanan terganggu. Sudahlah pemandu terpaksa berbaris untuk membayar tol, seratus meter selepas itu berbaris lagi untuk diperiksa oleh polis. Mengapa tidak letakkan sahaja polis di sebelah pondok tol kerena semua kenderaan yang tiba pasti akan berhenti di situ untuk membayar tol.
Selepas keluar semula di Plaza Tol Taiping Utara untuk ikut jalan lama, sekali lagi ada satu sekatan jalan raya berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Changkat Jering. Seperti biasa masuk semula ke Lebuhraya PLUS di Plaza Kuala Kangsar sebelum keluar di Gopeng.
Perjalanan dari Gopeng menuju Selatan cukup lancar sekali. Sepanjang perjalanan sehingga Tanjung Malim, tidak jumpa sebuah pun lori treler. Boleh pandu laju sikit dari biasa. Sepanjang laluan ini hanya jumpa sekali sahaja sekatan jalan di Bidor.
Laluan di antara Sungkai dan Tanjung Malim berkabus dan ada beberapa tempat yang kabusnya terlalu tebal sehingga terpaksa memperlahankan kenderaan. Adakah ini Malam Lailatul Qadar?
Jarang-jarang aku dapat memandu laju dan sepanjang perjalanan dari Tanjung Malim hingga Tol Bukit Lanjan, tidak ada kenderaan yang memotong. Aku rasa ini kali pertama berlaku sedemikian. Aku masih lagi sempat mendapat diskaun tol di Plaza Tol Bukit Lanjan kerana tiba sebelum jam 6.00 pagi. Cuma RM7.60 berbanding kadar biasa RM 9.50.
Setibanya berhampiran Desa Petaling di Lebuhraya KL-Seremban, tiba-tiba nampak isyarat lampu biru polis yang berkelip-kelip. Dalam hati tertanya, adakah satu lagi sekatan jalan raya. Rupa-rupanya bila sampai berhampiran, rupanya rombongan bas yang dieskort. Rombongan tersebut membawa peserta untuk sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Putra, Bukit Jalil. Terlintas juga di dalam hati, jika pada waktu itu mereka sudah berada di dalam bas-bas tersebut, pukul berapakah mereka bertolak dari rumah. Pada ketika pemimpin-pemimpin kita masih lena diulit mimpi, rakyat sudah terpaksa meninggalkan rumah untuk menjadi penghibur kepada mereka. Inilah yang dimaksudkan sebagai Rakyat Diutamakan.
Akhirnya aku tiba dengan selamat ke rumah pada jam 6.10 minit pagi dan bersolah suboh sebelum tidur untuk cover time yang terpaksa berjaga sepanjang malam. Inilah kali pertama perjalanan aku dari Alor Setar ke Kuala Lumpur mengambil masa begitu singkat walaupun mengikut jalan lama. Biasanya perjalanan aku mengambil masa lebih kurang 8 jam, malah ada yang sampai 16 jam kerana tidur di perjalanan kerana keletihan dan mengantuk.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN
No comments:
Post a Comment