Minggu ini merupakan minggu terakhir umat Islam melaksanakan ibadah puasa. Bulan Ramadhan yang mulia ini akan meninggalkan kita. Ada yang gembira kerana bulan Ramadhan akan habis dan ramai juga yang rasa sedih kerana peluang menambahkan ibadah dengan ganjaran berlipat ganda sudah terhenti buat sementara. Itulah lumrah manusia.
Semakin berakhirnya Ramadhan semakin sibuk pula kita. Persiapan untuk Hari Raya semakin rancak. Gedung-gedung membeli-belah semakin dibanjiri orang ramai untuk membeli persiapan Hari Raya. Tetapi yang pastinya apa yang semakin menemui kepupusan ialah tradisi mengirim kad hari raya. Kad Raya semakin tidak mendapat tempat lagi dengan adanya kaedah moden seperti SMS, email dan laman blog. Kalau dulu belum masuk Ramadhan lagi sudah ada kad raya beraneka corak dan bentuk dijual dan laris. Sekarang penjual kad raya mengeluh kerana tidak dapat mencari rezeki tambahan di ambang Syawal.
Kuih tradisional juga semakin kurang diminati khususnya golongan muda dengan melimpahnya kuih-kuih moden. Jarang sekali kita nampak kuih tradisi menghisi meja di Aidil Fitri. Setiap tahun aku pasti akan balik kampung untuk beraya. Seperti selalunya di sana kerana masih ada orang tua-tua, kuih tradisi ini masih boleh didapati. Tahun lepas ibuku membuat kuih kiambang. Dapatlah aku merakamkan bagaimana kiambang dimasak.
Pada malam 23 Ramadhan lepas komuniti tempat aku tinggal ada membuat gotong royong mengacau dodol. Dua kawah dikacau dan dapatlah diagihkan kepada semua unit rumah. Inilah kali pertama pengalaman melihat bagaimana dodol disediakan. Adunan pertama kali dimasukkan ke dalam kawah pada jam 10.10 malam selepas selesai sembahyang sunat Tarawikh. Dodol siap dimasak pada jam 3.50 pagi.
Aku rasa aktiviti seperti ini aku rasa dapat mengeratkan tali silatulrahim sesama jiran disamping dapat menghidupkan semangat kerjasama.
No comments:
Post a Comment